MELAKA: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Bukit Piatu di sini mendakwa, hidupnya trauma selepas menjadi mangsa ejekan dan ugutan rakan sekelas hanya kerana enggan menyerahkan wang.
Lebih mengejutkan, aduan ibunya yang dibawa dalam mesyuarat bersama pengurusan sekolah pada 3 Julai lalu turut dinafikan pihak sekolah, meskipun insiden itu dikatakan berlarutan sejak Mei lalu.
Menurut sumber, mangsa berusia 16 tahun itu mula dibuli ketika tinggal di asrama apabila diminta menyertai kutipan wang untuk membeli rak buku bagi kegunaan dua pelajar lain, namun mangsa menolak kerana ia bukan kemudahan bersama.
“Selepas itu dia sering diejek dengan gelaran ‘budak miskin’ hampir setiap hari sehingga berpindah blok dan akhirnya menjadi pelajar harian.
“Malah minggu lalu, pembuli itu terus mengejek sambil melaungkan dengan sinis ‘saya benci buli, saya sayang (pembuli)’ di hadapan rakan sekelas,” katanya.
Sumber berkata, keadaan itu menyebabkan emosi dan mental mangsa terganggu sehingga takut ke sekolah, namun mencekalkan hati membuat aduan kepada guru sebelum pelajar terbabit dipanggil pada 30 Jun lalu.
“Selepas pembuli itu dipanggil, seorang lagi rakan baiknya bertanyakan sebab dipanggil dan meluahkan mahu menampar seseorang kerana berang.
“Mangsa yang ketakutan kemudian memaklumkan kepada ibunya, namun aduan dalam mesyuarat bersama guru pada 3 Julai lalu dinafikan pihak sekolah,” katanya.
Sumber berkata, berasa terancam dan hilang keyakinan untuk ke sekolah, remaja itu membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir tengah hari semalam demi melindungi keselamatannya. – UTUSAN










