BATU KAWAN : Sebanyak 6,141.96 kilogram (kg) sisa kitar semula berjaya dikutip dalam kawasan Seberang Perai untuk tempoh tiga tahun sejak program World Clean Up Day diperkenalkan di sini pada 2022.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, tahun lepas merekodkan jumlah kutipan tertinggi iaitu sebanyak 2,837 kg diikuti oleh kutipan sebanyak 2,298.9 kg dan 1,006.06 kg yang masing-masing direkodkan pada 2023 dan 2022.
Beliau berkata, pencapaian tersebut bukan sekadar angka, tetapi, menjadi lambang kejayaan kolektif yang lahir daripada komitmen dan dedikasi semua pihak.
“Saya menyimpan harapan besar agar program seperti ini akan menjadi pemangkin kepada budaya kebersihan, kelestarian dan cintakan alam sekitar, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Dengan semangat kebersamaan ini juga, saya yakin hasrat untuk menjadikan Seberang Perai
sebagai bandar raya rendah karbon yang berdaya huni, mampan, inklusif, hijau, kompetitif serta berteraskan konsep Bandar Pintar akan dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program World Clean Up Day 2025 peringkat kebangsaan yang dianjurkan bersama dengan Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW) di Jeti Batu Musang di sini, hari ini.
Hadir merasmikan program itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo.
Secara keseluruhannya, 35 kawasan di Pulau Pinang telah terpilih untuk penganjuran program tersebut dengan sembilan daripada lokasi terbabit terletak di Seberang Perai.
Peserta program pula terdiri daripada kalangan pelajar, guru, belia, ibu bapa serta wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan jumlah keseluruhan yang terlibat adalah seramai 2,230 orang.-UTUSAN










