GEORGE TOWN: Hampir 450 kilogram (kg) sampah berjaya dibersihkan dari pesisir Pantai Teluk Bayu, Teluk Kumbar di sini dalam tempoh hanya beberapa jam menerusi aktiviti pembersihan yang diadakan kelmarin.
Program anjuran Nettoyage Station Group Sdn. Bhd. itu menghimpunkan penyertaan daripada cawangan syarikat berkenaan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor, dengan jumlah keseluruhan 86 peserta.
Pengarah Urusan Nettoyage Station Group, Datuk Sean Chen berkata, peserta dibahagikan kepada empat kumpulan bagi memastikan kawasan pantai sepanjang kira-kira satu kilometer dibersihkan secara menyeluruh.
“Sampah yang dikutip kemudian diasingkan mengikut kategori dan dikumpulkan di lokasi yang ditetapkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Kebanyakan terdiri daripada bahan boleh kitar semula seperti tin, botol kosong dan bekas plastik,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, bahan tidak boleh kitar semula seperti polisterin, sisa makanan dan pelbagai bungkusan turut ditemui.
“Walaupun kawasan pembersihan hanya meliputi satu kilometer, jumlah sampah yang dikutip agak besar dan membimbangkan,” katanya.
Menurut Sean, aktiviti itu juga sebahagian daripada program pengukuhan pasukan tahunan syarikat yang diadakan di Pulau Pinang pada tahun ini.
“Objektif utama adalah memelihara keindahan alam sekitar dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan pantai. Ia juga selari dengan nilai teras syarikat untuk menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN










