TAIPING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berharap peruntukan bagi kementerian itu akan dipertingkatkan dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tambahan peruntukan yang akan dipohon di bawah projek BP1 Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) itu diperlukan bagi memperkasakan KPKT dalam melaksanakan projek pembangunan dan infrastruktur untuk rakyat.
Katanya, KPKT merekodkan pencapaian cemerlang pada tahun lalu apabila berjaya menyiapkan 6,611 projek menjadikan kementerian itu sebagai kementerian berprestasi tertinggi di Malaysia.
“Bagi tahun hadapan, kita menyasarkan 10,000 projek membabitkan prasarana awam berjaya dilaksanakan di seluruh negara.
“Oleh itu, saya akan minta Kementerian Kewangan untuk tambah sekali ganda lagi peruntukan BP1 sebagai antara fokus utama KPKT,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 2025 di Pasar Lama Taiping, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Fadzli Mohd. Kenali; Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir.
Menurut Kor Ming, pihaknya akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan hujung bulan ini bagi mengemukakan cadangan untuk tambahan peruntukan tersebut.
“Cadangan ini supaya peruntukan prasarana dan infrastruktur awam serta kemudahan masyarakat dilipat gandakan agar kita dapat mencapai sasaran 10,000 projek prasarana awam dalam satu tahun.
“Itu adalah sasaran KPKT di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) selain daripada reformasi perumahan dan pembersihan awam yang diumumkan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN