Buang puntung rokok merata, dua lelaki Singapura didenda RM1,000

Buang puntung rokok merata, dua lelaki Singapura didenda RM1,000

DUA lelaki Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen kerana membuang puntung rokok di tempat awam. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga Singapura, masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuang puntung rokok di tempat awam, Januari lalu.

Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Orang Kena Saman (OKS), Lim Hu Shen, 38, dan Tan Boon Haw, 38.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut selain perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama enam jam tidak lebih dalam tempoh enam bulan.

Hu Shen, seorang arkitek dan Boon Haw, pengurus projek, didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal tersebut.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan pintu masuk sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, pada pukul 11.02 pagi dan 11.11 pagi, 3 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Rubiah Maulud manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN