Koperal didakwa pandu bahaya, sebabkan kematian pelajar

Koperal didakwa pandu bahaya, sebabkan kematian pelajar

TERTUDUH Azhar Mat Saini dikawal anggota polis ketika dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memandu secara berbahaya di Mahkamah Majistret Gurun. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki, bulan lalu.

Tertuduh, Azhar Mat Saini, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Azhar didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Muhammad Nur Iman Danial Mohd. Roshidi, 16, di persimpangan lampu isyarat Pekan Guar Chempedak, Yan, kira-kira pukul 9 malam pada 28 Julai lalu.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya mencadangkan jaminan RM13,000, namun peguam tertuduh, S. Parameswaran merayu jumlah lebih rendah memandangkan anak guamnya mempunyai empat anak termasuk seorang OKU.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September depan untuk serahan dokumen.

Pada 28 Julai lalu, mangsa terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Sementara itu, di luar kamar mahkamah, bapa mangsa, Mohd. Roshidi Alias, 44, menuntut keadilan buat anaknya dan mahu proses perbicaraan dijalankan secara telus.

“Kami bercadang untuk melantik peguam pemerhati bagi pihak keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN