Kongsi status fitnah, ustazah mohon maaf kepada BeDaie

Kongsi status fitnah, ustazah mohon maaf kepada BeDaie

SEORANG ustazah (kiri) membuat permohonan maaf secara terbuka kepada BeDaie yang diwakili oleh Amar Mirza Abdul Kadir Jailani (kanan) atas fitnah yang mendakwa menipu pelajar serta memburukkan nama syarikat tersebut. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang ustazah memohon maaf secara terbuka kepada platform pengajian dalam talian, BeDaie selepas didakwa menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap syarikat itu.

Wanita berusia 27 tahun itu mengakui kesilapan menuduh BeDaie menipu pelajar serta memburukkan nama pengasasnya, Amar Mirza Abdul Kadir Jailani dalam hantaran bertarikh 26 Julai lalu.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja menjejaskan reputasi BeDaie yang kini mempunyai lebih 120,000 pelajar di seluruh negara dan ribuan lagi di 20 negara lain, malah memberi kesan kepada dakwah secara keseluruhan.

“Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada BeDaie atas penerbitan status WhatsApp yang mengandungi kenyataan tidak benar terhadap Ustaz Amar Mirza Abdul Kadir Jailani. Saya benar-benar kesal dengan perbuatan itu dan berjanji tidak mengulangi atau menerbitkan sebarang kenyataan berkaitan beliau pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wanita itu berkata, akuan maaf itu dibuat dengan penuh keinsafan dan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Akuan Berkanun 1960.

“Saya difahamkan, individu yang membuat pengakuan palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 199 dan 200 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Sementara itu, Amar Mirza berharap kejadian seumpama itu tidak berulang, selain menasihatkan golongan agamawan supaya  menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak menyebar kenyataan berunsur provokatif.

“Sebagai pendakwah, kita sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat dan menjadikan media sosial sebagai medium dakwah, bukan platform untuk mengaib atau menjatuhkan sesama sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN