KUCHING: Sebuah kilang di Muara Tabuan Light Industrial Park musnah dalam kebakaran melibatkan dua struktur bangunan pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Sarawak) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran tersebut pada pukul 10:48 pagi.
“Seramai 37 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Padungan dan Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian, bersama tiga jentera FRT, satu jentera CFRT, satu tangki air dan satu unit EMRS dan sebuah Hilux.
“Anggota bomba mendapati kebakaran dipercayai bermula daripada beberapa kontena yang dijadikan sebagai rumah pekerja sementara sebelum merebak ke struktur belakang kilang yang berkeluasan 100×100 kaki persegi melibatkan kerosakan kira-kira 70 peratus,” jelasnya.
Tambahnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan buih pemadam api bagi memadamkan kebakaran di sebuah longgokan barangan terbakar berkeluasan 30×30 kaki persegi di sisi kiri kilang.
Komander Operasi Kanan, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Tiong Ling Hii, yang juga Timbalan Pengarah Bomba Negeri, mengesahkan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini.
“Anggota bomba berdepan cabaran kerana struktur kilang diperbuat daripada dinding zink setinggi dua tingkat yang menyukarkan akses masuk ke dalam premis.
“Operasi tersebut bagaimanapun berhasil mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 12:19 tengah hari, namun anggota bomba masih kekal di tempat kejadian untuk memastikan api benar-benar padam dan tidak berulang,” katanya. – UTUSAN










