KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mempunyai lebih 44 rekod jenayah ditembak mati ketika berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Tunku di sini hari ini.
Kejadian dalam pukul 4.10 pagi itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama-sama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerusi operasi khas Op Api KL 3.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek merupakan lelaki warga tempatan dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan aktiviti pengedaran dadah.
“Suspek yang ditembak mati dipercayai Ketua atau dalang utama kumpulan yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan dadah sejak tahun lalu di Kuala Lumpur, Perak dan Selangor.
“Turut dirampas bersama suspek iaitu sepucuk pistol jenis revolver yang dipercayai digunakan dalam kejadian berbalas tembakan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.-UTUSAN