PETALING JAYA: Kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Pakatan Harapan (PH) akan diteruskan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 nanti.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu yang diadakan pada malam semalam.
“Kerjasama ini banyak membantu menstabilkan politik di Sabah selain memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memberi tumpuan khusus kepada usaha-usaha membangunkan negeri berkenaan.
“Ia termasuk menyelesaikan masalah-masalah berkaitan kemudahan asas,” katanya dalam kenyataan hari ini
Dalam pada itu Masidi berkata, kepimpinan GRS akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan PH dalam masa terdekat bagi menentukan agihan kerusi yang akan ditandingi oleh parti masing-masing.
“GRS kekal berpendirian bahawa parti-parti tempatan hendaklah mengambil peranan utama dalam kerjasama yang akan dipersetujui,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Majlis Tertinggi GRS tidak membincangkan atau menyentuh sebarang kerjasama dengan parti-parti lain bagi menghadapi PRN nanti. – UTUSAN










