KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak menerima status enam ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri kekal berada di blok pembangkang seperti dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, semalam.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, situasi itu jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan juga enggan menerima kesemua wakil rakyat terlibat.
“Mereka sudah keluar daripada kita, dah keluar pun daripada PN dan belah sana (kerajaan) pun tak mahu terima mereka dan kata mereka itu bukan orang kerajaan. Ini maknanya, saya nak maklumkan kepada enam orang ini, engkau tak akan jadi calon sebelah sana kerana mereka tak mahu pun engkau.
“Kalau di sebelah sini, minta maaf lah, 100 peratus nama mereka ini tidak akan jadi calon kami kerana mereka ini macam Hulu Terengganu kata, keras pun tidak, lembik pun tidak. Kami di pembangkang ini, kalau isu itu tidak betul, jadi kita keras. Kalau belah sana tidak mengapa, lembik.
“Saya nak maklumkan kepada semua rakyat, orang seperti ini PN tidak akan menerima orang-orang yang tidak tahu kedudukan mereka sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini, hari ini.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat meletakkan kedudukan enam ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri kekal berada dalam blok pembangkang.
Johari berkata, tiada maklumat secara hitam putih diterima daripada kesemua terlibat berhubung status mereka yang mengisytiharkan sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meninggalkan blok pembangkang.
Hamzah berkata, PN sudah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat sebaik sahaja enam ahli Parlimen berkenaan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, sekali gus menimbulkan kehairanan.
Katanya, mengikut Perlembagaan Persekutuan, jelas menyatakan mana-mana setiausaha agung parti hendaklah memaklumkan perkara itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Itu yang saya hairan, dia kata belum maklum kepada dia. Jadi sampai masa kita akan minta speaker minta maaf. Kalau boleh tolong tanya speaker sebab kita tanya dia dalam Dewan, dia kata itu lah jawapannya,” katanya.
Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). – UTUSAN










