Melaka ambil tindakan tegas terhadap isu bendera terbalik - Utusan Malaysia

Melaka ambil tindakan tegas terhadap isu bendera terbalik

AB. Rauf Yusoh melekatkan Jalur Gemilang di sebuah kenderaan di Lobi Blok Bendahari, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak di Melaka yang sengaja memasang atau mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, tindakan sedemikian tidak boleh dimaafkan dan jika peraturan lebih tegas diwujudkan, ia dapat mencegah kejadian berulang sekali gus memupuk semangat patriotisme.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat perlu menggubal undang-undang lebih ketat bagi menghukum individu yang sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik, kerana ia dianggap sebagai penghinaan terhadap lambang negara.

“Sama ada sengaja atau tidak, ia tidak sepatutnya berlaku kerana media telah menjelaskan Jalur Gemilang adalah lambang yang mesti dihormati seluruh rakyat Malaysia. Tindakan memasang terbalik menunjukkan kurangnya kesetiaan kepada negara,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Jabatan Ketua Menteri Melaka 2025 di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Ab. Rauf berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan berhubung pemasangan bendera negara secara terbalik di Melaka.

Katanya, seluruh rakyat Melaka diingatkan jangan sesekali mengundang perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

“Melaka sebuah negeri yang mempunyai nilai budaya dan kerukunan hidup yang tinggi dan saya menghargai orang Melaka memang hebat, bijak laksana Tuah dan berani laksana Jebat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN