KANGAR: Kerajaan negeri akan menyokong penyertaan kelab-kelab yang berpangkalan di Perlis untuk menghadapi saingan dalam Liga A1 Semi Pro dan Liga A2 Amateur bagi musim 2025/2026.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd Ridzuan Hashim berkata, selain pasukan Perlis Guar Syed Alwi (GSA) yang disahkan bertanding dalam Liga A1 Semi Pro, terdapat beberapa pasukan lain di negeri ini turut berhasrat menyertai saingan Liga A2 Amateur musim 2025/2026.
Beliau berkata, penyertaan kelab-kelab dari negeri ini untuk bersaing dalam Liga A2 Amateur itu juga masih belum dimuktamadkan buat masa ini.
“Dalam konteks ini, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis juga telah menyediakan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dibentangkan dan membuat keputusan untuk menyokong penyertaan kelab-kelab berpangkalan di Perlis bagi menyertai Liga A1 Semi Pro dan Liga A2 Amateur musim 2025/2026,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Mohd Ridzuan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Zikri Afhtar Ishak (PN-Tambun Tulang) berhubung bentuk bantuan atau sokongan diberikan kepada pasukan GSA dalam menempuhi Liga A1 pada tahun ini.
Sebagai rekod, dalam aksi pembuka tirai Liga A1 Semi Pro Sabtu lepas, Perlis GSA berjaya mengikat Kedah FA 0-0 walaupun bermain dengan 10 pemain menerusi pertemuan di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, berikutan itu, kerajaan negeri juga bersetuju Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, digunakan sebagai gelanggang tuan rumah bergantung kepada bilangan penggunaan dan jadual perlawanan liga.
Katanya, kutipan tiket penonton juga boleh dilakukan oleh pihak kelab tanpa sebarang bayaran hasil kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri bersetuju penggunaan premis atau fasiliti di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra kecuali gimnasium, asrama dan padang latihan dengan pengecualian bayaran tertakluk kepada kekosongan serta permohonan,” katanya.-UTUSAN










