Kerajaan beri bayangan inisiatif baharu perkukuh sektor animasi - Utusan Malaysia

Kerajaan beri bayangan inisiatif baharu perkukuh sektor animasi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi bayangan akan mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi merancakkan sektor animasi tempatan susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu akan melibatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan MyCreative Ventures dengan tumpuan kepada penyediaan dana, proses pembikinan serta kerjasama bersama sektor korporat.

“Insya-Allah, minggu depan saya akan menggulung di Parlimen dan mungkin ada beberapa persoalan yang akan saya jawab secara rasmi dalam Dewan Rakyat.

“Arahan saya kepada FINAS dan My Creative Ventures ialah selain daripada penyediaan dana, kita perlu teliti kepada beberapa aspek dalam proses pembikinan termasuk produser, pendanaan daripada sektor korporat dan perbankan korporat.

“Hal ini kerana, kita dapati sektor perbankan korporat khususnya filem dan animasi kreatif mendatangkan pendapatan. Jadi kita inginkan satu sinergi antara sektor perbankan dengan industri kreatif dan insya-Allah kedua-dua pihak ini akan menjadi pemudah cara,” katanya pada sidang akhbar RIUH Hangout 2025 di Pickle Depot, di sini, hari ini.

Tambahnya, usaha memperkukuh hak cipta intelek (IP) industri perfileman Malaysia turut diberi perhatian dengan sasaran membawa karya tempatan ke pasaran serantau.

“Isu IP dari Malaysia ke negara jiran memang antara perkara yang sedang giat diusahakan FINAS. Sebagai contoh, kita dapat lihat bagaimana Upin & Ipin diminati di Indonesia dan beberapa filem kita berjaya menembusi pasaran Vietnam serta Kemboja.

“Jadi antara usaha FINAS ialah mewujudkan jaringan bagi memudahkan IP tempatan dibawa ke peringkat ASEAN sebagai permulaan,” tambahnya.

Terdahulu, FINAS menyambut baik penekanan terhadap ekonomi jingga dalam RMK13 sebagai komitmen Kerajaan MADANI untuk mentransformasi industri kreatif negara ke peringkat global, termasuk melalui pelaksanaan Dana Kandungan Kreatif (DKK) bagi menyokong projek IP animasi tempatan yang berpotensi tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN