Pelabuhan kontena AI pertama negara perkukuh kedudukan Malaysia

Pelabuhan kontena AI pertama negara perkukuh kedudukan Malaysia

ANWAR Ibrahim merasmikan Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Midpoint Smart Ai Container Port di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Projek pembangunan pelabuhan kontena kecerdasan buatan (AI) pertama negara yang dibina di sini mampu menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek pelabuhan pintar AI itu bukan sekadar sebuah projek pembangunan biasa, sebaliknya memenuhi keperluan strategik negara berikutan peningkatan kapasiti perdagangan di Selat Melaka yang merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.

Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut juga tidak membebankan kewangan kerajaan kerana dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta selain menggunakan teknologi AI bagi meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan.

“Selat Melaka merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia. Jika kita hanya melihat kapal lalu-lalang tanpa memanfaatkan peluang itu, sudah tentu kita rugi.

“Pendekatan projek ini juga amat efisien kerana menggunakan AI yang dapat menjimatkan masa, mengurangkan kos dan menawarkan kelebihan berbanding pelabuhan konvensional,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Midport Smart AI Container Port di Mukim Pasir Panjang di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS) dan Midports Holdings Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Tanco Holdings Berhad itu dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan baharu.

Katanya, pembangunan berkenaan merangkumi sektor industri, logistik, pergudangan, perkhidmatan sokongan dan teknologi digital serta akan dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan darat termasuk Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

“Projek pelabuhan pintar ini turut digabungkan dengan pembangunan Port Dickson Free Zone (PDFZ) seluas kira-kira 567 hektar di Ladang Sengkang, Mukim Pasir Panjang.

“Ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi baharu Negeri Sembilan serta memperkukuhkan agenda Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV2.0),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kebajikan komuniti setempat khususnya nelayan yang terkesan akibat pembangunan tersebut akan terus dipelihara.

Katanya, nelayan yang terlibat akan menerima bayaran pampasan bulanan sebanyak RM1,000 sehingga projek berkenaan siap dilaksanakan.

Pelabuhan tersebut sebelum ini diperakui secara rasmi oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sebagai pintu gerbang maritim utama dan komponen utama di bawah Parsel E MVV2.0 yang turut memegang status Projek Keutamaan Strategik Nasional.

Pelabuhan pintar itu dibangunkan dengan pelaburan infrastruktur kira-kira AS$850 juta, diterajui sepenuhnya sektor swasta dan dijangka membantu menangani kekurangan kapasiti pelabuhan di Selat Melaka, selain disepadukan dengan pembangunan zon bebas berhampiran bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan Port Dickson. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN