PETALING JAYA: Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang didakwa tergesa-gesa memanggil Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun untuk hadir ke pejabat agensi itu di Cyberjaya hari ini bagi tujuan siasatan dipersoalkan.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Siew Mun terkejut selepas menerima mesej WhatsApp daripada pegawai penyiasat MCMC pada jam 10.16 malam yang memintanya hadir untuk disoal siasat berhubung kenyataannya mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semua Bandar di platform TikTok.
“Pada jam 10.20 malam, saya menerima panggilan daripada Siew Mun yang memaklumkan perkara itu.
“Beliau turut meminta agar tarikh berkenaan ditunda namun pegawai penyiasat memberitahu arahan itu datang daripada pihak atasan supaya rakaman percakapan tetap dijalankan esok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ka Siong menyifatkan perkara itu menimbulkan persoalan kerana panggilan dibuat pada saat akhir dan tarikh ditetapkan pula jatuh pada sambutan Hari Kebangsaan ke-68, sedangkan Isnin turut merupakan cuti umum.
“Persoalannya, kenapa tergesa-gesa? Mengapa perlu last minute arrangement pada malam menjelang Hari Merdeka?
“Dan apa yang begitu mendesak sehingga Siew Mun dipanggil pada tarikh ini?” soalnya.
Beliau berkata, MCMC perlu memberi penjelasan segera kepada orang ramai agar tidak timbul persepsi tindakan tersebut bermotifkan politik selain daripada proses siasatan biasa.
RUU PSB yang bertujuan mewujudkan Akta Pembaharuan Semula Bandar menerima kritikan hebat daripada ahli Parlimen kerajaan, pembangkang serta orang ramai.
RUU itu dibentangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu, manakala bacaan keduanya berlangsung pada 28 Ogos.
Bagaimanapun, perbahasan dan pengundian terhadap RUU berkenaan ditangguhkan ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang pada Oktober depan dan Kor Ming memberi jaminan beberapa penambahbaikan akan dibuat terhadap perundangan yang dicadangkan itu. – UTUSAN










