Keluarga Syamsul Haris dibenar saksi proses bedah siasat

Keluarga Syamsul Haris dibenar saksi proses bedah siasat

JENAZAH Syamsul Haris dibawa keluar setelah selesai proses gali semula kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Hulu Langat, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keluarga termasuk ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Samsudin dibenar menyaksikan proses bedah siasat kedua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu melalui satu galeri di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Peguam keluarga, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, tiga pakar perubatan akan menjalankan proses bedah itu bagi mempercepatkan prosedur dan memastikan hasil siasatan lebih teliti.

Katanya, proses itu dijangka mengambil masa panjang bergantung kepada keperluan dan keadaan tubuh arwah semasa pemeriksaan dilakukan.

“Namun, pihak hospital memberi jaminan akan cuba menyelesaikan bedah siasat secepat mungkin kerana melibatkan tiga pakar forensik,’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Naran berkata, setakat ini mayat arwah masih belum dimandikan kerana pihak hospital mahu mengekalkan keadaan asal untuk tujuan bedah siasat.

“Kita bukan tidak mahu bersihkan mayat dahulu, cumanya kami risau sebarang petunjuk baharu mungkin akan terpadam atau hilang, menjadikan proses bedah siasat menjadi lebih sukar,” katanya.

Beliau berkata, keluarga Syamsul Haris Samsudin memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mempertimbangkan inkues terhadap kematian pelajar itu sama seperti kes Zara Qairina Mahathir.

“Permohonan inkues telah dibuat tetapi sehingga hari ini tiada jawapan daripada mereka,” katanya.

Katanya, beliau bercadang mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar bagi menyerahkan transkrip dan audio dari seorang individu dilabel sebagai ‘A’ yang berada di lokasi kejadian.

Naran berkata, proses penggalian semula kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Hulu Langat, semalam dihadiri tiga pakar forensik daripada IPFN HKL serta wakil pakar forensik keluarga, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh.

Syamsul Haris pelatih pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor

Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan menggali semula kubur Allahyarham Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat dilakukan sekali lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN