PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan jumlah agihan keseluruhan mencecah RM104.79 juta.
Pembayaran dividen yang telah ditolak zakat itu mula dikreditkan secara rasmi ke dalam akaun simpanan lebih 92,000 anggota yang layak bermula hari ini, 2 Julai 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pembayaran kadar dividen yang kompetitif itu dipacu oleh prestasi kewangan bank yang lebih kukuh bagi tahun 2025.
Menurut beliau, CBP berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM131.15 juta bagi tahun tinjauan, iaitu meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding pencapaian pada tahun sebelumnya.
”Bagi tahun 2026, CBP mensasarkan keuntungan meningkat kepada RM141 juta dan kami kekal optimis bahawa sasaran ini dapat dicapai menerusi pelbagai aktiviti pemasaran yang telah dirancang secara agresif sebelum ini.
“Selain itu, CBP juga dilihat berupaya memperkukuh lagi kedudukan kecairan dan modal kewangan bagi tahun 2026 menerusi terbitan Structured Covered Sukuk yang akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut mengenai instrumen kewangan berkenaan, Khairil berkata, penerbitan program Sukuk itu akan dibuat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Himayah Sukuk Berhad.
Langkah strategik tersebut dijangka mampu melonjakkan lagi profil dan jenama CBP di dalam pasaran modal tempatan, khususnya dalam pasaran Sukuk negara.
“Keyakinan pasaran terhadap instrumen ini turut dikuatkan lagi menerusi penarafan gred pelaburan A3 dan P2 dengan prospek stabil (With Stable Outlook) yang diberikan oleh agensi penarafan RAM Ratings,” katanya. – UTUSAN










