KUALA LUMPUR: Kadar tambang bagi mana-mana konsesi perkhidmatan awam termasuk yang dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta (PPP) dikawal melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah kerajaan mengawal kadar tambang perkhidmatan pengangkutan awam itu bertujuan memastikan pengoperasiannya dapat dimanfaatkan masyarakat pelbagai lapisan secara menyeluruh.
“Memang daripada segi tambang, ia dikawal kerajaan. Mana-mana projek seperti monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan sebagainya, kita kawal tambang bagi memastikannya dapat dibiayai dan digunakan rakyat.
“Jadi tambangnya dikawal dengan serendah mungkin. Namun, apabila kita kawal tambang, ia menjadikan projek untuk swasta ini tak berdaya saing kerana projek PPP kena ada pulangan pelaburan (RoI).
“Umpamanya, kebanyakan lebuh raya dibina melalui model PPP dan dia ada kadar tol yang dipersetujui dalam konsesi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) sama ada kerajaan bercadang menetapkan dasar nasional bagi model pembiayaan perkhidmatan pengangkutan awam supaya setiap projek PPP atau konsesi mempunyai nilai siling tambang. – UTUSAN










