Malaysia perlu ‘sovereign cloud’ lindungi data kritikal negara

Malaysia perlu ‘sovereign cloud’ lindungi data kritikal negara

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mewujudkan sistem sovereign cloud atau pengkomputeran awan berdaulat bagi melindungi data keselamatan kritikal negara dan maklumat peribadi rakyat.

Langkah itu sekali gus memperkukuh kedaulatan digital negara tanpa menjejaskan keterbukaan terhadap pelaburan digital global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga penting bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara ketika rantau Asia Tenggara semakin bergantung kepada teknologi digital dan infrastruktur kritikal.

Katanya, sistem itu membolehkan Malaysia melindungi maklumat sensitif di bawah bidang kuasa negara tanpa menjejaskan dasar keterbukaan yang diamalkan dalam dunia yang semakin saling berhubung.

“Akta CLOUD (CLOUD Act) telah menimbulkan beberapa isu apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat mempunyai hak untuk mengakses data dari negara tempat mereka melabur.

“Itu hak mereka dan kita tidak boleh berbuat apa-apa. Namun bagi melindungi kepentingan negara, khususnya data keselamatan kritikal dan maklumat peribadi, kita perlu mewujudkan sovereign cloud,” katanya ketika sesi soal jawab dalam sidang Meja Bulat Asia Pasifik (APR) Ke-39 di sini hari ini.

Anwar berkata, sistem itu akan dilengkapi dengan sistem kawalan keselamatan atau firewall bagi menghalang pencerobohan terhadap data kritikal negara serta maklumat peribadi rakyat.

Bagaimanapun, katanya, perlindungan tersebut mempunyai batasannya memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara demokratik yang mengamalkan keterbukaan dan akses kepada maklumat.

“Pada pandangan saya, inilah pendekatan paling bijak untuk melindungi rakyat dan kepentingan negara. Dalam masa sama, kita perlu menerima hakikat bahawa dalam dunia global, perlindungan itu tetap mempunyai batasannya kerana kita sebuah negara yang bebas dan demokratik,” katanya.

Beliau berkata, keterbukaan dan kebebasan pertukaran maklumat membawa pelbagai manfaat, namun pada masa sama turut membuka ruang kepada penyalahgunaan media sosial serta platform digital.

Menurutnya, penyalahgunaan itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk politik, ekonomi, peribadi dan seksual, justeru perlindungan yang sah perlu diwujudkan terutama bagi melindungi golongan muda.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia kekal menjadi destinasi pelaburan yang menarik kepada syarikat dari Amerika Syarikat, China dan Jerman.

Katanya, prinsip pemusatan ASEAN terus menjadi tonggak penting bukan sahaja dalam pelaksanaan dasar luar negara, malah memastikan Malaysia kekal diyakini pelabur serta dilihat sebagai rakan kepada semua negara.

Menyentuh peranan Malaysia sebagai kuasa pertengahan, beliau berkata, kekuatan negara bukan hanya bergantung kepada potensi Malaysia semata-mata, sebaliknya turut disokong oleh kekuatan kolektif ASEAN.

“Saya tidak pernah menggambarkan Malaysia sebagai kuasa besar. Kita sebuah negara kecil. Sebab itu kita menjalinkan hubungan rapat dengan negara jiran kerana kekuatan kita bukan hanya terletak pada potensi Malaysia, tetapi juga potensi ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia akan terus menjalinkan hubungan baik dengan semua negara yang memilih untuk menjadi rakan, selain berpandangan negara-negara kecil perlu berkembang bersama sebagai sebuah rantau berbanding mengejar status kuasa pertengahan secara bersendirian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN