SEPANG: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang Kelepok Raya tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan demikian selepas meneliti hujahan tambahan yang dikemukakan pihak pembelaan dan hujahan balas daripada pihak pendakwaan.
Sejurus selepas keputusan itu, Aliff Syukri kemudian mengucapkan terima kasih kepada hakim dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
“Terima kasih kepada mahkamah atas keputusan ini. Saya berjanji tidak akan membuat kesalahan sama,” katanya dengan nada sebak.
Hakim Ahmad Fuad kemudian turut menasihatkan Aliff Syukri supaya tidak mengulangi kesalahan itu.
Mengikut pertuduhan, Aliff Syukri, 38, didakwa atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini satu muzik video lagu raya berdurasi 5 minit 23 saat pada 2022 menjadi kontroversi apabila memaparkan aksi keterlaluan beberapa orang penari lelaki lembut yang disifatkan mencemari sambutan perayaan Aidilfitri serta mempunyai elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Sepanjang prosiding, Aliff Syukri diwakili peguam-peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Hasshahari Johari Mawi dam Mohd. Radzlan Jalaludin manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin.
Sementara itu, Aliff Syukri ketika ditemui selepas prosiding, memberitahu sejak dituduh dan dibicarakan, hidupnya tertekan apabila terpaksa ‘turun naik’ mahkamah.
“Selama hampir tiga tahun, saya ‘berlawan’ dalam kes ini, ia bukan satu perkara yang mudah. Sejujurnya, saya tidak sangka boleh menang hari ini, namun akhirnya ia berpihak kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes.
Beliau turut berterima kasih kepada mahkamah serta peguam atas bantuan sepanjang prosiding kes berkenaan. – UTUSAN