Majlis Syura tiada kuasa pertimbang rayuan - Utusan Malaysia

Majlis Syura tiada kuasa pertimbang rayuan

AHMAD YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR Majlis Syura Ulama (MSU) Pas tidak mempunyai kuasa membuat sebarang pertimbangan terhadap rayuan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang dilucutkan keahlian sebelum ini.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, MSU hanya menerima borang permohonan keahlian baharu daripada ketiga-tiga pemimpin terlibat sebelum menyerahkan kepada Setiausaha Agung Pas untuk pertimbangan selanjutnya.

“Keputusan MSU berkaitan rayuan tiga bekas ADUN Perlis adalah MSU menolak daripada membuat keputusan atas nama rayuan, sebab ia bukan dalam bidang kuasa MSU.

“Menerima borang permohonan ahli baharu Pas daripada tiga bekas ADUN tersebut dan diserah kepada Setiausaha Agung Pas untuk pertimbangan Pas Pusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, MSU menerima rayuan tiga ADUN Perlis yang dilucutkan keahlian pada Disember lalu, namun status keahlian mereka hanya boleh diputuskan oleh Pas Pusat.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, dalam mesyuarat pada 27 Januari lalu, rayuan Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji) antara yang turut dibincangkan.

Katanya, mesyuarat MSU menerima rayuan dikemukakan berdasarkan enam faktor termasuk prinsip al-Quran, manhaj Nabi Muhammad dan kaedah fiqh.

Pada 24 Disember lalu, Pas melucutkan keahlian tiga ADUN Perlis itu serta-merta susulan ketetapan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A (1) (b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025).

Keputusan itu dibuat susulan tindakan ketiga-tiga ADUN terbabit yang menghantar akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyatakan tidak lagi menyokong kepimpinan Menteri Besar Perlis ketika itu, Mohd. Shukri Ramli.

Pas sebelum itu mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan kemelut politik negeri berkenaan selepas timbul dakwaan bahawa Mohd. Shukri kehilangan sokongan majoriti ADUN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN