PN akan selamat jika Muhyiddin berundur - Saifuddin - Utusan Malaysia

PN akan selamat jika Muhyiddin berundur – Saifuddin

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Konflik dalaman Perikatan Nasional (PN) melibatkan Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya akan selesai, jika Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundurkan diri dan melepaskan jawatannya sebagai Presiden Bersatu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Muhyiddin perlu meletakkan jawatan demi menyelamat, memperkukuh dan memenangkan Bersatu serta PN.

Beliau berkata, Muhyiddin telah hilang kelayakan sebagai seorang pemimpin, bukan sahaja daripada sudut keupayaan mengurus parti, malah daripada aspek ilmu, kemahiran dan adab kepemimpinan.

Katanya, masalah dalaman PN yang berlaku ketika ini berpunca daripada kegagalan kepemimpinan Muhyiddin semasa beliau menjadi Pengerusi gabungan berkenaan.

“Antara kegagalan utama yang dibangkitkan ialah tindakan melantik Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan PN tanpa sebarang perundingan dengan parti-parti komponen.

“Pelantikan Setiausaha Agung (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Bendahari (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) dan Ketua Penerangan (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dibuat tanpa perundingan.

“Akibatnya, Dr. Ahmad Samsuri meletakkan jawatan sebagai protes bagi pihak Pas manakala Takiyuddin kemudiannya digantikan oleh Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin kerana dianggap tidak sesuai,” katanya.

Saifuddin mendakwa, kepemimpinan PN seolah-olah tidak komited menyediakan sumber dana semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, selain gagal mengadakan Mesyuarat PN bagi menyelesaikan kemelut berkaitan jawatan Menteri Besar Perlis.

“Selepas Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, proses pemilihan pengganti dilihat sengaja dilengah-lengahkan, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan pimpinan serta akar umbi.

“Bagi saya langkah mendesak beliau berundur adalah perlu bagi memastikan PN kembali kukuh, berwibawa dan mampu memenangi kepercayaan rakyat,” katanya.

Saifuddin berkata, beliau sedang menunggu dipanggil oleh Lembaga Rayuan dan berharap haknya sebagai ahli Bersatu dapat dikembalikan.

“Saya mengambil pendirian ini kerana mahu menyelamatkan Bersatu dan PN. Pemecatan saya dibuat melalui Lembaga Disiplin yang tidak dilaksanakan menurut prinsip keadilan semula jadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×