KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan kekal dengan pendirian menolak sepenuhnya pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibentangkan oleh Kerajaan Persekutuan kerana didakwa bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta mencabar kuasa autonomi negeri.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan itu selari dengan pendirian bersama negeri-negeri di bawah kerjasama State Government Four (SG4) iaitu Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Kita (Kelantan) bersama SG4 lain secara tegas dan muktamad menolak RUU URA. Ia tidak boleh diganggu-gugat.”RUU ini bukan sekadar menimbulkan kekeliruan, malah mencetus kebimbangan terhadap hak milik tanah, kelangsungan komuniti asal bandar, serta hak asasi penduduk setempat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, RUU URA jelas menimbulkan percanggahan dengan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Perkara 13 Perlembagan Persekutuan yang menjamin hak milik tanah tidak boleh diganggu-gugat tanpa mengikut undang-undang.
Katanya, ia juga dilihat bercanggah dengan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menetapkan kuasa mutlak berhubung tanah adalah di bawah Pihak Berkuasa Negeri.
“Malah ia (RUU URA) bercanggah dengan Akta Perncangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang dengan jelas memperuntukkan urusan perancangan bandar berada di dalam bidang kuasa eksekutif kerjaaan negeri melalui Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan Tempatan,” ujarnya. – UTUSAN










