Nagelsmann letak jawatan, Klopp disebut calon utama

Nagelsmann letak jawatan, Klopp disebut calon utama

Julian Nagelsmann
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH: Ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann dilaporkan meletakkan jawatan berikutan kegagalan pasukan itu mara lebih jauh selepas tersingkir secara mengejut pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di tangan Paraguay.

Menurut beberapa laporan media Jerman semalam, Nagelsmann yang masih mempunyai kontrak sehingga Kejohanan Eropah 2028 bersetuju memenuhi permintaan Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) untuk mengundurkan diri.

Akhbar Bild dan Sky Germany melaporkan, keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang dikatakan menjadi calon pilihan utama DFB bagi mengemudi skuad kebangsaan.

Klopp, 59, meninggalkan Liverpool pada 2024 selepas mencipta pelbagai kejayaan termasuk memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kini kini memegang jawatan Ketua Global Bola Sepak Red Bull.

Bagaimanapun, laporan menyebut kontraknya mengandungi klausa pelepasan yang membolehkan dia menerima tawaran untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Jerman.

Bekas pengendali Borussia Dortmund itu juga kekal menjadi antara figura bola sepak paling berpengaruh di Jerman dan bertugas sebagai penganalisis televisyen sepanjang saingan Piala Dunia.

Nagelsmann dilaporkan menghadiri mesyuarat selama tiga jam di ibu pejabat DFB di Frankfurt semalam, sebelum ditawarkan pampasan berjumlah 7 juta euro (RM32.6 juta) iaitu bersamaan kira-kira gaji setahun, sebagai sebahagian daripada persetujuan penamatan kontraknya.

Sekiranya peletakan jawatan itu disahkan secara rasmi, Nagelsmann akan menjadi hanya jurulatih kedua dalam sejarah skuad kebangsaan Jerman yang meninggalkan jawatan selepas diminta berbuat demikian, mengikuti jejak Hansi Flick pada 2023.

Jerman tersingkir selepas tewas kepada Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti di Boston pada Isnin lalu, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Kekalahan itu turut mencatat sejarah sebagai kekalahan pertama Jerman dalam penentuan sepakan penalti di pentas Piala Dunia.

Juara dunia empat kali itu sebelum ini turut tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2018 di Rusia dan 2022 di Qatar.

Malah, Jerman masih belum memenangi sebarang perlawanan peringkat kalah mati atau mencatat rekod tanpa bolos di Piala Dunia sejak menewaskan Argentina 1-0 pada final edisi 2014 di Brazil. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN