KOTA BHARU: Kelantan tidak lagi mencatatkan jumlah penagih tertinggi apabila kadar penurunan kes penyalahgunaan dadah di seluruh negara menurun sebanyak 10.5 peratus bermula Januari hingga Mac tahun ini berbanding tempoh sama bagi tahun lalu.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, jumlah penagih dan kes penyalahgunaan dadah di Kelantan turut menunjukkan penurunan sebanyak 5.4 peratus.
Katanya, melalui perkembangan tersebut, Kelantan kini tidak lagi menjadi negeri yang merekodkan kadar penagih dadah dan penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini.
“Berdasarkan laporan dikeluarkan AADK sehingga Mac lalu, sejumlah 108,409 penagih dan kes dadah dikesan di seluruh negara dengan Kelantan mencatat seramai 11,280 individu.
“Data yang sama menunjukkan Kelantan kini berada pada kedudukan ketiga tertinggi selepas Terengganu dan Perlis bagi kadar penagih dan penyalahgunaan dadah per 100,000 penduduk,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Ruslin memberitahu, Kelantan mencatat sebanyak 579 kes bagi tiga bulan pertama tahun ini berbanding 663 di Terengganu dan 609 kes di Perlis.
Katanya, penurunan berkenaan mempunyai kaitan dengan usaha dan inisiatif diambil oleh pelbagai pihak melibatkan aktiviti penguatkuasaan dan pelaksanaan program pendidikan pencegahan termasuk kawalan di sempadan negara. – UTUSAN










