PETALING JAYA: Polis mengesahkan kejadian membabitkan ahli perniagaan yang juga saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang di rumahnya di Bukit Gasing di sini adalah kes samun.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat pada 7.20 pagi berkaitan kes samun bersenjatakan parang di rumah tersebut membabitkan beberapa penjenayah yang memakai penutup muka.
Katanya, siasatan mendapati mereka memecah masuk rumah dan membawa lari barangan berharga yang disimpan dalam peti besi.
“Penjenayah kemudian melarikan diri menggunakan laluan hutan di bahagian belakang rumah tersebut.
“Kejadian terbabit adalah kes samun dan tiada kaitan dengan gangguan terhadap saksi kes dikaitkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan menggunakan senjata.
“Siasatan masih diteruskan berkaitan kes ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek diminta tampil ke balai polis berhampiran.
“Mereka juga boleh berhubung dengan Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Fandhi Fatullah Abu Bakar (014-6303090).
Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan kejadian membabitkan seorang ahli perniagaan yang juga saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang diserang di kediamannya di sini, hari ini.
Difahamkan, ahli perniagaan terbabit adalah saksi pendakwaan penting dalam kes membabitkan seorang bekas ketua menteri.
Lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian mulut dan pergelangan tangan manakala dua pengawal keselamatannya diikat oleh penyerang. – UTUSAN










