Kedah nafi 100,000 belia menganggur

Kedah nafi 100,000 belia menganggur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menafikan dakwaan Sekretariat Suara Anak Kedah yang menyatakan lebih 100,000 belia di Kedah masih menganggur. 

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Kedah, Wong Chia Zhen berkata, dakwaan itu bukan sahaja tidak tepat, malah amat tidak bertanggungjawab kerana menimbulkan keresahan rakyat dan mencemarkan imej negeri.

“Berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kedah, kadar pengangguran di Kedah telah menunjukkan penurunan konsisten sepanjang dua tahun lalu dan berada pada 1.7 peratus pada Suku Keempat 2024 yang mana antara kadar terendah di Malaysia.

“Dengan jumlah tenaga buruh sekitar 65 peratus daripada 2.13 juta penduduk, kadar pengangguran 1.7 peratus hanya bermaksud kurang daripada 25,000 orang penganggur di seluruh negeri. Dakwaan terdapat 100,000 belia Kedah menganggur adalah jauh tersasar dan tidak selari dengan fakta rasmi kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Sekretariat Suara Anak Kedah yang menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sempena Himpunan Honggaq Kedah mendakwa mengenal pasti kegagalan menyediakan peluang kerja walaupun menjanjikan pembangunan dan pelaburan besar.

Pengarah sekretariat itu, Sulaiman Ibrahim mendakwa, lebih 100,000 anak muda Kedah masih menganggur dan peluang pekerjaan yang diwujudkan lebih banyak menguntungkan pelabur luar berbanding rakyat tempatan.

Tambah Chia Zhen, pada peringkat nasional, kadar pengangguran Malaysia adalah sekitar 3.1 hingga 3.2 peratus, dengan jumlah penganggur melebihi 530,000 orang. 

“Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun Kedah mempunyai kurang daripada 25,000 penganggur, angka ini adalah jauh lebih rendah daripada purata negara, sekaligus menafikan tuduhan liar yang cuba dilemparkan.

“Kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh modal insan melalui kerjasama dengan agensi Persekutuan seperti Kementerian Sumber Manusia, PERKESO, Jabatan Tenaga Kerja dan rakan industri bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta meningkatkan kemahiran belia,” katanya.

Ujarnya, kerajaan negeri bersama agensi kementerian di Kedah juga sentiasa prihatin dan akan terus mencari jalan untuk menurunkan lagi angka pengangguran termasuk melalui program peningkatan kemahiran, penganjuran karnival kerjaya serta kerjasama dengan pelabur bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Sekiranya wujud isu sebenar yang perlu diberi perhatian, saya sedia bekerjasama dengan Menteri Sumber Manusia demi kepentingan rakyat Kedah. Namun, menyebarkan angka tidak benar adalah tindakan berniat jahat yang boleh merosakkan keyakinan pelabur serta mencemar nama baik negeri.

“Saya menyeru semua pihak supaya lebih bertanggungjawab, berpandukan fakta rasmi dan bukannya fitnah atau propaganda. Kerajaan negeri akan terus bekerja keras untuk memastikan rakyat menikmati peluang pekerjaan yang adil dan saksama selaras dengan visi The Greater Kedah 2035,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN