KUALA TERENGGANU: Lebih 4,000 peserta termasuk delegasi dari negara ASEAN memeriahkan Program Jelajah Berbasikal ASEAN Solidariti 2025 yang berlangsung di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini.
Program julung kali anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) itu bertujuan memperkasa hubungan serantau di bawah payung ASEAN melalui sukan serta aktiviti rekreasi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, acara berkenaan menampilkan kayuhan sejauh 30 kilometer mengelilingi bandar raya Kuala Terengganu, larian santai lima kilometer, fun walk tiga kilometer, pameran agensi kerajaan serta pelbagai aktiviti interaktif.
Katanya, penganjuran itu selari aspirasi komuniti ASEAN untuk memajukan sukan sebagai medium keamanan, kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi selain mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai hab sukan.
“Objektif utama program ini adalah mempromosikan semangat komuniti ASEAN melalui sukan, memupuk gaya hidup sihat serta menggalakkan pertukaran silang budaya.
“Program ini dihadiri hampir semua negara ASEAN termasuk Brunei, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Indonesia. Berdasarkan sambutan hari ini, kita berharap ia dapat diteruskan walaupun dianjurkan sempena kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini,” ujarnya selepas melepaskan peserta Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 di Dataran Batu Buruk.
Adam Adli berkata, Terengganu dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana negeri ini sering mendominasi acara berbasikal dan melahirkan ramai atlet cemerlang.
Menurutnya, walaupun program ini bersifat ‘one-off’ sempena kepengerusian ASEAN-Malaysia, pihaknya mempertimbang untuk menganjurkannya lagi pada masa hadapan.
Sementara itu, Adam berkata, Malaysia meletakkan harapan tinggi kepada skuad berbasikal remaja negara untuk mencipta kejayaan pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Remaja di Apeldoorn, Belanda dari 20 hingga 24 Ogos ini.
Empat pelumba muda yang menjadi sandaran memburu pingat ialah Sawda Hasbullah, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak, Luqman Haqim Ali Badrun dan Yu Jing Liang. – UTUSAN











