KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas sebanyak 27,700 unit rokok elektrik atau vape yang tidak diikrar menerusi pemeriksaan ke atas dua buah kenderaan pikap Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Padang Besar, 17 Julai lalu.
Pemeriksaan sekitar pukul 12 tengah hari itu dilaksanakan oleh sepasukan anggota Kastam Unit Narkotik Padang Besar ke atas dua kenderaan jenis Isuzu Dmax.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, pemeriksaan lanjut dijalankan telah membawa kepada penemuan sejumlah vape dikenal pasti tidak diikrarkan yang dibawa bersama barangan runcit.
“Semua vape yang tidak diikrarkan ini adalah berjumlah 27,700 unit dan dianggarkan bernilai RM520,800,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam negeri, di sini, hari ini.
Ismail berkata, pemeriksaan ke atas pikap pertama yang ditahan itu mendapati pemandunya membawa barangan runcit yang diikrarkan seperti mana Borang Kastam No.2 (K2).
Ujarnya, bagaimanapun, pemeriksaan ke atas pikap kedua mendapati pemandunya membawa barangan runcit bersama vape yang tidak diikrarkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Susulan penemuan itu, kastam juga telah merampas semua vape berkenaan termasuk sebuah pikap yang dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, seorang pemandu berusia 23 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan dan telah dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM6,000.
Katanya, modus operandi digunakan suspek juga adalah dengan menyembunyikan barangan tidak berikrar bagi mengelakkan daripada dihidu pihak berkuasa. – UTUSAN










