SEGAMAT: Para penduduk di daerah ini meluahkan rasa kebimbangan akibat gegaran gempa bumi yang sudah kali kelima berlaku dalam tempoh kurang satu minggu.
Peniaga kuih-muih, Hafizah Yahya, 39, berkata, kejadian gegaran gempa bumi yang kerap berulang itu amat membimbangkan terutamanya membabitkan keselamatan anak-anaknya memandangkan dia seorang ibu tunggal.
“Gempa bumi ini telah menjadi bualan sejak ia berlaku pada Ahad lalu. Perkara pertama yang saya fikirkan adalah keselamatan anak-anak.
“Kalau nak pindah keluar dari Segamat pun, kami hendak ke mana? Siapa yang boleh sediakan rumah untuk kami? Di mana saya hendak bekerja?
“Kalau ikut hati dan akal yang pendek, pindah keluar Segamat adalah jalan keluar yang singkat tetapi kalau hendak jadi gempa bumi, mana-mana pun boleh jadi memandangkan Segamat yang tidak pernah gempa pun sudah ada sekarang,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Badak di sini semalam.
Hafizah berkata, dia berharap pihak berkuasa dapat memberi jaminan keselamatan kepada penduduk bagi mengurangkan rasa kebimbangan dalam kalangan warga Segamat.
Seorang lagi penduduk, S. Eswaran, 18, dia berasa gusar dengan gegaran yang berterusan sebanyak lima kali dalam tempoh tidak sampai seminggu.
Katanya, keadaan itu bukanlah perkara yang remeh dan boleh dibiarkan sehingga menjadi kebimbangan penduduk.
“Apabila lihat keadaan gempa masih berlaku sampai ke pagi Jumaat, ada rasa mahu pindah dari Segamat tetapi kami tidak tahu hendak pindah ke mana,” katanya.
Dia berharap pihak bertanggungjawab dapat merungkai misteri gempa bumi yang kerap berulang dengan penerangan perlu dilakukan supaya mereka lebih bersedia.-UTUSAN










