Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menggesa Kerajaan memperkukuh sokongan terhadap industri muzik tempatan menerusi Belanjawan 2027, dengan mengiktiraf sektor itu sebagai penyumbang penting kepada ekonomi kreatif, ekonomi digital dan pembangunan harta intelek negara.
Menurut RIM, industri muzik Malaysia menjana RM19.4 bilion dalam output ekonomi setiap tahun bagi tempoh 2016 hingga 2020, selain menyumbang RM531 juta dalam kutipan cukai dan menyokong purata 111,000 pekerjaan setahun.
Prestasi industri turut mencatat rekod pada 2025 dengan pendapatan RM428.3 juta, meningkat 17.7 peratus berbanding RM352.4 juta pada 2024, didorong antaranya oleh penstriman muzik digital dan kutipan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO).
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata sokongan strategik Kerajaan diperlukan bagi meningkatkan pembangunan bakat, penghasilan kandungan muzik berkualiti serta pembangunan harta intelek yang mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.
RIM turut mencadangkan penubuhan Dana Eksport Muzik Malaysia bagi menyokong penyertaan artis tempatan dalam acara muzik antarabangsa, promosi luar negara, pemasaran digital dan kolaborasi.
Selain itu, RIM mencadangkan insentif Potongan Cukai Berganda sebanyak 200 peratus bagi perbelanjaan layak syarikat rakaman untuk latihan dan pembangunan bakat serta aktiviti penerbitan muzik.
RIM turut mengalu-alukan penubuhan ‘Hari Muzik Negara’ sebagai platform tahunan untuk mempromosikan muzik tempatan serta mencadangkan tempoh perlindungan hak cipta rakaman bunyi dipanjangkan daripada 50 kepada 70 tahun.
RIM turut menekankan keperluan memperkukuh perlindungan hak cipta dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI), termasuk memastikan karya muzik berhak cipta tidak digunakan bagi pembangunan AI secara komersial tanpa kebenaran.
RIM berharap Belanjawan 2027 dapat memberi tumpuan kepada pelaburan strategik yang mampu memperkukuh industri muzik Malaysia, menjana pekerjaan, meningkatkan nilai ekonomi serta membawa kandungan dan kreativiti tempatan ke pasaran global.











