Beli tiket F1 RM8000, dapat tempat duduk biasa - Ain Edruce - Utusan Malaysia

Beli tiket F1 RM8000, dapat tempat duduk biasa – Ain Edruce

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Ain Edruce tidak menyangka kejutan untuk suami bertukar kecewa apabila mengetahui tiket menyaksikan Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang yang dibelinya baru-baru ini sekadar indah khabar dari rupa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Ain, tiket berkenaan yang dibeli dengan harga melambung tinggi hanya membenarkan dia dan suami menonton perlumbaan di tempat duduk biasa.

“Saya nak beri kejutan kepada suami. Kalau ikutkan, saya tak minat sukan permotoran. Tapi suami saya minat.

“Kami buat pembelian secara dalam talian menerusi laman sesawang terkenal. Tiket dengan pelbagai harga ditawarkan. Namun yang menarik minat kami adalah tiket berharga RM8000. Kami beli kerana beranggapan tentulah tempat duduknya lebih bagus.

“Rupanya kami tertipu. Harga yang dibeli itu hanya untuk sehari, tempat duduk biasa. walhal orang lain beli dengan harga RM2000 untuk tiga hari.

“Ramai yang hairan, kenapa kami duduk di tempat biasa sedangkan harga tiket itu sepatutnya untuk tempat duduk yang lebih baik. Barulah kami sedar kami ditipu. Apa pun seronok dapat menyaksikan F1,” katanya ketika hadir ke Majlis Cuckootopia x Melodi terhangat di Hyatt Regency, semalam.

Katanya, dia dan suami cuba sedaya upaya untuk menjual tiket berkenaan dengan harga sama namun tidak berjaya.

“Namun tiada siapa berminat untuk beli. Iyalah, siapa yang mahu membeli tiket RM8000 sedangkan mereka dapat beli dengan pelbagai harga yang jauh lebih murah,” ujarnya.

Ain dalam masa yang sama menyesal kerana tidak mendengar nasihat tukang urut yang ada bersama ketika pembelian tiket itu dibuat.

“Sebenarnya yang awal mempersoalkan harga tiket melambung tinggi itu adalah tukang urut yang ketika itu sedang mengurut saya.

“Nasihatnya agar saya mencari tiket yang lebih murah, namun tidak dilayan kerana saya waktu itu teruja membeli tiket F1 untuk suami.

“Namun akhirnya, harga yang ditawarkan tidak berbaloi dengan tempat duduk yang kami dapat,” kongsinya.

Bagaimanapun Ain bersyukur kerana dia dan suami dipermudahkan perjalanan sewaktu menghadiri acara yang dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang itu.

“Trafik sedikit sesak, namun kami tidak alami apa yang dilalui orang lain. Malah, tempat letak kereta juga sentiasa ada.

“Kami tidak sempat saksikan semua pusingan perlumbaan, terpaksa pulang awal selepas pusingan ke-25 kerana khuatir akan kesesakan jalan raya.

“Sudahnya kami sambung menonton pusingan selebihnya dalam kereta,” kongsinya.

Dalam masa sama, Ain menasihatkan agar masyarakat tidak mengikut langkahnya yang gelojoh dan tidak berfikir panjang sebelum membuat pembelian secara dalam talian.

“Kalau beli apa-apa di website, jangan tunjuk pandai lebih-lebih lagi perkara yang kita tidak biasa. Rujuk pakar terlebih dahulu.

“RM8000 itu besar nilainya, dengan jumlah itu anda boleh bayar sewa rumah, elektrik dan macam-macam lagi. Jadi berhati-hatilah sebelum membuat pembelian,” ujarnya lagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini