Kaedah sewaan ganti F/A-18 C/D Kuwait

Kaedah sewaan ganti F/A-18 C/D Kuwait

entera Udara Diraja Malaysia (TUDM) wajar mempertimbangkan kaedah sewaan jet pejuang lain sebagai pilihan seandainya pesawat F/A-18 C/D Kuwait tidak menepati piawaian operasi dan teknikal ditetapkan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) wajar mempertimbangkan kaedah sewaan jet pejuang lain sebagai pilihan seandainya pesawat F/A-18 C/D Kuwait tidak menepati piawaian operasi dan teknikal ditetapkan.

Felo Penyelidik Pusat Penyelidikan dan Kecemerlangan Maritim Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Komander (B) Farizha Ibrahim berkata, langkah interim itu merupakan pilihan kedua bagi mengurangkan jurang keupayaan tempur TUDM dalam jangka masa terdekat sementara menunggu ketibaan pesawat pejuang baharu menerusi pelan perolehan jangka panjang.

Katanya, kontrak perjanjian sewaan tersebut perlu dirangka dengan ketetapan teknikal dan operasi teliti demi memastikan kadar keberkesanan operasi tinggi dapat dicapai.

“Kaedah sewaan meningkatkan kadar kemampuan yang cepat dengan perbelanjaan modal awal lebih rendah kerana pakej logistik, latihan dan penyelenggaraan lazimnya disatukan.

“Dalam erti lain, sewaan sementara lebih mudah diterima ketika kerajaan perlu mengekalkan fokus pada perolehan pesawat pejuang ringan (LCA) FA-50, pesawat rondaan maritim (MPA) dan helikopter. 

“Namun kekangan ialah ketiadaan hak milik, kadar kebergantungan berterusan kepada negara asal dan kemungkinan kos tinggi jika disewa terlalu lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris kelmarin berkata, TUDM masih dalam proses penilaian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan pembelian pesawat pejuang F/A-18 C/D milik Kuwait atau sebaliknya. 

Farizha berkata, seandainya kaedah sewaan dilaksanakan, kontrak ditandatangani perlu menetapkan perjanjian tempoh perkhidmatan (SLA) dengan ketat.

“Perlu dipastikan pesawat dalam keadaan baik dan bayaran boleh mengikut jumlah jam pesawat digunakan.” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN