Pengecualian fi RM1 melibatkan 16,000 mesin ATM

Pengecualian fi RM1 melibatkan 16,000 mesin ATM

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengecualian fi RM1 bagi pengeluaran tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) melibatkan hampir 16,000 mesin ATM di seluruh negara, mulai semalam.

Jumlah itu melibatkan kira-kira 84 peratus mesin ATM yang ada di seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan penjelasan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), pengecualian itu bertujuan memberi kelegaan kepada pengguna melalui rangkaian perkongsian ATM antara syarikat perbankan di negara.

“Saya telah berhubung dengan Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan penjelasan dan asasnya pengecualian fi ini bertujuan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat melalui rangkaian ATM antara bank yang menyertai sistem perkongsian,” katanya pada Sidang Media Mingguan Komunikasi, di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, hari ini.

Beliau berkata, baki kira-kira 16 peratus mesin ATM yang tidak melaksanakan pengecualian pula merupakan mesin kendalian pengusaha bebas yang beroperasi di bawah model komersial berbeza dan tidak termasuk dalam skop pengecualian berkenaan.

“Pengumuman ini terpakai bagi ATM milik bank yang menyertai rangkaian perkongsian. Manakala ATM yang dikendalikan pengusaha bebas tidak termasuk dalam pengecualian ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihak Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelaksanaan tersebut.

Beliau turut memaklumkan pengguna boleh mengenal pasti ATM milik bank melalui logo bank, berbanding mesin kendalian pihak ketiga.

“Sekiranya ada mana-mana pengguna mendapati masih dikenakan fi RM1 bagi pengeluaran di ATM milik bank, mereka boleh membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN