Jual kereta demi belanja hantar anak ke IPG

Jual kereta demi belanja hantar anak ke IPG

MUHAMMAD Syahmi Azril Saidijamal (dua dari kiri) ditemani ahli keluarganya ketika hari pendaftaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: “Saya tidak mahu kacau duit bantuan yang anak saya dapat. Sebab itulah saya jual satu-satunya kereta yang saya ada untuk digunakan sebagai belanja bagi menghantarnya sambung belajar.”

Itu kata Saidijamal Abu Said, 43, yang bangga melihat anak sulungnya, Muhammad Syahmi Azril, 18, berjaya mencapai impian untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, di sini.

Saidijamal berkata, demi memberi sokongan moral kepada anaknya itu, dia juga enggan meminjam wang untuk dibelanjakan sebagai kos perjalanan ke IPG terbabit.

“Sebab itu jugalah saya sanggup menjual kereta Proton Iswara ini yang saya gunakan sejak lebih 10 tahun lalu pada harga RM800 kira-kira dua minggu lepas untuk tujuan itu.

“Lagipun, anak-anak saya (Muhammad Syahmi dan dua adiknya) tidak pernah keluar dari Kedah sebelum ini dan ini kali pertama saya bawa mereka ke Pulau Pinang (berjalan-jalan) dengan menyewa kereta.

“Sebenarnya, ini juga kali pertama dia (Muhammad Syahmi) berjauhan dari kami (ibu bapanya) serta adik-adik untuk tempoh yang lama. Harapnya dia dapat menyesuaikan diri di sini (IPG) nanti,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pada 26 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai keluhan pelajar itu di kampung halamannya di Sik, Kedah bahawa keluarganya tidak mampu menyediakan wang untuk yuran pengajian jika dia menyambung pelajaran ke IPG tersebut.

Kisah remaja itu mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengarahkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 itu dibantu bagi melanjutkan pelajaran.

Jelas Saidijamal, isterinya, Nor Azlinda Ahmad, 38, yang tidak bekerja dan mengidap penyakit kanser payudara tahap empat sejak lebih setahun lalu juga teruja melakukan persiapan untuk anak sulung mereka ke IPG.

“Dia (isteri) telah selesai buat rawatan kimoterapi dan akan mulakan rawatan radioterapi mulai bulan September ini.

“Sebagai bapa dan suami, saya perlu lebih kuat dan cekal demi keluarga saya. Apapun, saya harap (Muhammad) Syahmi belajarlah bersungguh-sungguh dan balas jasa semua orang yang banyak membantunya selama ini,” kata Saidijamal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN