Barisan penyanyi Pantai Timur gegarkan Konsert Kelate Ke KL 2026 Ogos ini - Utusan Malaysia

Barisan penyanyi Pantai Timur gegarkan Konsert Kelate Ke KL 2026 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terus mencipta fenomena, barisan penyanyi Pantai Timur bakal menggegarkan Konsert Kelate Ke KL 2026 yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos depan.

Menurut Pengarah Projek, Ayob Abd Majid, konsert yang menghimpunkan penyanyi popular, khususnya wanita dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu bakal menjadi platform terbaik untuk mereka tonjolkan bakat yang sebelum ini dihadkan.

“Kita jarang dapat membawa artis wanita membuat persembahan di Kelantan. Malah, artis wanita dari Kelantan, mereka sendiri pun tidak dapat membuat persembahan di negeri sendiri.

“Jadi, saya rasa saya perlu membawa mereka keluar untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur, bukan sahaja untuk rakyat Kelantan, tetapi juga untuk rakyat Malaysia secara amnya.

“Alhamdulillah, mereka memberikan respons yang baik kerana percaya bakat mereka perlu dikembangkan ke luar Kelantan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Kelate Ke KL 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Ayob yang juga Presiden Konsortium Industri Rakaman Music Malaysia (IRAMA) meluahkan rasa bangga apabila barisan penyanyi yang berasal dari Kelantan kini mula mendapat tempat di hati masyarakat

“Hari ini kita boleh lihat, ramai penyanyi yang berasal dari negeri sudah mula menerima jemputan daripada penganjur dan menjelajah ke seluruh Malaysia.

“Seperti Eda Ezrin dan Den Manjo, persembahan mereka di pusat beli-belah Angsana, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga sesak.

“Sekiranya acara ini mendapat sambutan yang luar biasa, kami akan cuba mengajurkan konsert ini dalam skala yang lebih besar seperti di Unifi Arena Bukit Jalil,” katanya.

Mengulas mengenai kekangan penyanyi wanita membuat persembahan di Kelantan, Rosalinda memaklumkan mereka hanya boleh ‘mencari makan’ dan menyerlahkan bakat dalam majlis-majlis tertentu sahaja.

“Terima kasih banyak-banyak beri peluang ini kepada kami kerana di Kelantan, penyanyi wanita hanya boleh membuat persembahan di majlis-majlis kenduri kahwin atau di tempat-tempat tertutup.

“Persembahan itu juga hanya untuk penonton wanita, bukan lelaki. Jadi, Alhamdulillah saya bersyukur berpeluang untuk membuat persembahan di Zepp Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Adik Waniey mengakui teruja dan bangga apabila diberi peluang untuk membuat persembahan dalam sebuah konsert di ibu kota.

“Saya rasa bangga kerana dapat membuat persembahan di Kuala Lumpur. Di Kelantan memang agak sukar untuk ‘mencari makan’ melalui bidang nyanyian kerana ada garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Saya juga rasa berdebar untuk membuat persembahan di konsert nanti. Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang memberi peluang kepada saya untuk membuat persembahan pada 29 Ogos nanti,” ujarnya.

Selain Adik Waniey dan Rosalinda, Konsert Kelate Ke KL 2026 itu turut membariskan penyanyi popular dari Kelantan yang lain seperti Eda Ezrin, Den Manjo, Man Khan, Fendi Kenali dan Aris Kapilla. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN