SEATTLE: Amerika Syarikat (AS) kini mengalihkan sepenuh perhatian kepada Belgium selepas mempamerkan semangat juang luar biasa untuk menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0 pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia, hari ini meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir setengah jam.
Kemenangan di Stadium San Francisco Bay Area itu memastikan skuad kendalian Mauricio Pochettino melangkah ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun, sekali gus menghidupkan impian tuan rumah untuk melakar perjalanan lebih jauh di pentas dunia.
Namun, kejayaan tersebut hadir dengan kehilangan penyerang utama, Folarin Balogun yang akan terlepas aksi menentang Belgium selepas dilayangkan kad merah dalam perlawanan hari ini.
Balogun terlebih dahulu menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-45, menjadikan koleksi jaringannya kepada tiga gol sepanjang kejohanan.
Namun, penyerang itu kemudian diperintah keluar padang pada minit ke-64 selepas terlibat dalam insiden yang menyaksikannya dilayangkan kad merah.
Walaupun kehilangan seorang pemain, AS tidak goyah, sebaliknya, mereka terus mempamerkan disiplin tinggi dalam bertahan sebelum Malik Tillman memastikan kemenangan menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-82.
Kejayaan itu bukan sahaja membawa AS ke pusingan seterusnya, malah menamatkan badi panjang apabila mereka akhirnya menewaskan pasukan Eropah selepas tewas dalam 10 pertemuan berturut-turut di pentas Piala Dunia.
Lebih membanggakan, ia juga kali pertama AS mencatat tiga kemenangan dalam satu edisi kejohanan terbesar dunia itu.
Tillman berkata, seluruh pasukan mahu menikmati kemenangan tersebut sebelum mula memberi tumpuan kepada cabaran lebih besar menentang Belgium.
“Kami mahu menikmati detik ini terlebih dahulu. Selepas itu kami akan mengkaji corak permainan Belgium dan juga menilai semula persembahan kami.
“Ia bukan perlawanan yang mudah, tetapi kami berharap dapat terus mara ke peringkat seterusnya,” katanya.
Pemain tengah berusia 23 tahun itu, turut memberitahu detik menarik di sebalik jaringan yang dihasilkannya apabila but kanannya koyak pada babak kedua sehingga memaksanya menukar kasut beberapa minit sebelum mengambil sepakan percuma yang membawa kepada gol kedua AS.
“Saya tahu ada yang meragui kemampuan saya melepasi benteng pertahanan, tetapi saya sering berlatih situasi seperti ini.
“Anda tidak tahu bila peluang itu akan tiba, namun hari ini ia berlaku dan saya sudah bersedia. Saya sangat yakin dan gembira bola itu masuk,” ujarnya.
Sementara itu, kapten pasukan AS, Christian Pulisic memuji semangat juang rakan sepasukannya yang kekal tenang walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain.
“Kami benar-benar perlu berjuang. Saya rasa kami mempamerkan aksi yang sangat baik dan tidak layak menerima kad merah itu.
“Walaupun begitu, kami tetap berjaya menjaringkan satu lagi gol dan bertahan dengan baik. Ia adalah kemenangan hasil usaha seluruh pasukan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Balogun turut mencipta rekod unik apabila menjadi pemain pertama menjaringkan gol dan kemudian dilayangkan kad merah dalam aksi kalah mati Piala Dunia sejak Zinedine Zidane melakukannya pada final 2006 sewaktu menentang Itali hampir dua dekad lalu.-AGENSI










