Kajian Lelaki Budiman Negara dilaksana bermula bulan ini

Kajian Lelaki Budiman Negara dilaksana bermula bulan ini

NANCY Shukri beramah mesra dengan peserta selepas Forum Konsultatif Pemerkasaan Lelaki di PICC. Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melaksanakan Kajian Lelaki Budiman Negara di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bermula bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kajian selama 18 bulan itu bertujuan membantu merangka inisiatif Lelaki Budiman Negara dalam melahirkan golongan lelaki yang berdaya tahan, bertanggungjawab dan mampu menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan keluarga serta pembangunan negara.

“Forum Konsultatif Pemerkasaan Lelaki ini dirangka sebagai platform strategik untuk menghimpunkan pandangan, pengalaman dan cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan mengenai cabaran yang dihadapi oleh golongan lelaki masa kini.

“Melalui pendekatan Public–Private–People Partnership, forum ini diharap dapat mengenal pasti isu-isu kritikal, berkongsi amalan terbaik serta memperkukuh jaringan kerjasama rentas sektor bagi merangka inisiatif pemerkasaan lelaki yang lebih menyeluruh, responsif dan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Konsultatif Pemerkasaan Lelaki anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, semua dapatan dan syor daripada forum tersebut akan menjadi input penting dalam penggubalan dasar serta pembangunan program berasaskan bukti bagi agenda pemerkasaan lelaki di Malaysia.

Menurutnya, pemerkasaan lelaki perlu dilihat dalam kerangka yang lebih menyeluruh, bukan sekadar dari aspek kepimpinan atau ekonomi, tetapi merangkumi kekuatan jiwa, kestabilan emosi, kematangan pemikiran serta keupayaan memikul amanah dengan penuh tanggungjawab.

“Lelaki hari ini, khususnya bapa muda, berdepan dengan cabaran yang semakin kompleks. Selain kos sara hidup dan komitmen kewangan, mereka perlu mengimbangi tuntutan kerjaya dengan tanggungjawab sebagai suami dan bapa, di samping berdepan perubahan landskap sosial dan cabaran membesarkan anak-anak dalam pengaruh media digital.

“Ramai juga yang bergelut untuk menyesuaikan diri sebagai ketua keluarga tanpa sokongan yang mencukupi. Cabaran-cabaran ini menuntut lelaki bukan sahaja cekal dari segi fizikal, malah mempunyai daya tahan emosi, kemahiran keibubapaan dan kesejahteraan mental yang baik,” ujarnya.

Nancy berkata, kementerian juga telah mewujudkan Jaringan Pemerkasaan Lelaki (MEN) sebagai platform strategik yang menghimpunkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, profesional dan individu bagi menyelaras
program, intervensi serta advokasi berkaitan pemerkasaan lelaki di Malaysia.

“Inisiatif ini telah digerakkan melalui Mesyuarat Libat Urus Pemerkasaan Lelaki pada 30 April lalu yang menghimpunkan 18 NGO berteraskan pemerkasaan lelaki. MEN bukan sekadar sebuah jaringan kerjasama, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan Lelaki Budiman Negara.

“Melalui inisiatif ini, kita mahu melahirkan lebih ramai lelaki yang menghormati wanita, berkongsi tanggungjawab dalam keluarga, mengutamakan kesejahteraan mental serta menjadi suami, bapa dan pemimpin yang berintegriti,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi LPPKN, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kajian tersebut akan melibatkan responden daripada semua negeri.

“Ini lah permulaannya, hari ini kita mengadakan advokasi, selepas itu kita akan adakan beberapa program libat urus kemudian akan dikembangkan juga ke negeri-negeri. Dan bukan itu sahaja, dengan adanya MEN, kita akan berkolaborasi dengan jaringan lelaki supaya kita boleh menjalankan pelbagai program tudung padang bersama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN