KLUANG : Kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan penambahan lokasi menurun dan mengambil penumpang rentas sempadan antara Johor-Singapura kepada Kementerian Pengangkutan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Johor, Muhamad Fazli Mohamad Salleh berkata, cadangan itu dikemukakan merupakan fasa pertama bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi lebih 400 syarikat agensi yang terjejas selepas kerajaan Singapura tidak lagi membenarkan permohonan permit Kemasukan Kenderaan (VEP) sejak 2023.
Jelasnya, praktis ketika ini, teksi atau kenderaan berlesen Hire & Drive Malaysia atau Singapura hanya dibenarkan menurunkan penumpang di satu lokasi sahaja sama ada di Johor atau Singapura.
“Di Johor Bahru, teksi hanya dibenarkan mengambil penumpang dari mana-mana lokasi dan menurunkan penumpang hanya satu tempat iaitu Rochor Road, Singapura.
“Begitu juga teksi dari Singapura boleh mengambil penumpang dari mana-mana lokasi di sana dan hanya boleh menurunkan penumpang di Larkin Sentral,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Laman Rel Mahkota di Stesen KTM Kluang di sini semalam.
Berangkat menyempurnakan majlis ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Dalam pada itu, Muhamad Fazli berkata, bagi fasa kedua pula, kerajaan negeri mencadangkan agar operasi kenderaan yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan termasuklah Hire & Drive, teksi dan e-hailing mengambil dan menurunkan penumpang ‘door to door’.
“Kedua-dua cadangan ini kita telah kemukakan kepada pihak Kementerian Pengangkutan dan berharap agar pihak kementerian mengadakan perbincangan dengan pihak Singapura,” katanya.
Kelmarin media melaporkan lebih 400 syarikat pelancongan di negeri ini kehilangan pendapatan lebih 50 peratus setelah pihak berkuasa Singapura tidak membenarkan kenderaan berlesen Hire & Drive Malaysia mendapat VEP memasuki republik itu sejak 2023.-UTUSAN










