KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan mengambil keterangan ketua polis daerah (KPD) dan dua pegawai kanannya yang terlibat dalam siasatan kematian Zara Qairina Mahathir.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan akan dijalankan mengikut prosedur tatatertib, malah JIPS akan menghantar pasukan ke Sabah dalam masa terdekat.
Katanya, ini susulan Kertas Siasatan Tatatertib yang dibuka JIPS berkaitan kes terbabit.
“Siasatan dijalankan ke atas KPD berpangkat superintenden, ketua bahagian siasatan jenayah daerah (KBSJD) berpangkat asisten superintenden dan pegawai penyiasat berpangkat inspektor.
“JIPS akan ambil keterangan semua pihak, pasukan ini akan ke Sabah dalam masa sehari dua,” katanya selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, malam tadi.
Beliau berkata, siasatan adalah berkaitan aspek penyeliaan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pegawai yang gagal menjalankan bertanggungjawab terbabit.
“Mereka perlu bertanggungjawab, maka tindakan tegas perlu diambil. Tindakan tegas wajar diambil terhadap mana-mana pegawai gagal menyelia dan mendapatkan siasatan sepatutnya. Setakat ini pegawai terbabit masih bertugas,” katanya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di longkang asrama sekolahnya pada pukul 4 pagi, 16 Julai.
8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
AGC berpendapat wujud keperluan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kegagalan pegawai penyiasat memohon bedah siasat pada peringkat awal dikenal pasti sebagai punca utama ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kes kematian Zara Qairina. – UTUSAN










