KUALA KANGSAR: Jeti Pekan Manong di sini, kini tinggal nostalgia setelah tidak lagi digunakan susulan terbinanya Jambatan Sultan Muzzaffar Shah sejak 2020.
Sejak dari zaman penjajahan British, jeti perkhidmatan bot itu digunakan untuk menghubungkan penduduk di Kampung Seberang Manong dengan Pekan Manong yang dipisahkan oleh Sungai Perak.
Penduduk, Samsuri Jamaludin, 72, berkata, pembinaan jambatan itu menggambarkan usaha pemodenan Manong.
“Jambatan ini amat diperlukan. Memudahkan orang dari kampung seberang untuk bekerja dan menyelesaikan urusan penting di pekan.
“Jika dulu, perkhidmatan bot hanya disediakan dari pukul 6 pagi hingga 6 petang sahaja. Selepas waktu itu, perlu pusing jauh menggunakan jalan darat berjarak kira-kira 30 kilometer (km),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Samsuri, tambang perkhidmatan bot sebelum ini serendah 50 sen seorang dan bertambah jika membawa kenderaan seperti motosikal.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Jaafaruddin Ahmad, 37, berkata, jambatan sepanjang 300 meter itu telah mengubah corak kehidupan di Manong dengan lebih banyak aktiviti ekonomi dan perniagaan boleh dijalankan.
“Jambatan ini sangat dinanti-nantikan oleh penduduk. Ada penduduk yang mempunyai kebun di Seberang Manong dan perlu mengambil masa untuk pergi ke kebun dan pulang. Begitu juga kanak-kanak sekolah yang bergantung kepada bot. Kini menjadi lebih mudah dan cepat,” katanya.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan jambatan tersebut kelmarin yang dilihat dapat merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pertanian setempat serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk sekitar.
Projek jambatan itu dimulakan pada 2017 dan siap pada Oktober 2019 dengan harga kontrak lebih RM37 juta.
Jambatan itu memendekkan jarak dan masa perjalanan dari Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong yang pada asalnya sejauh 36km atau 40 minit kepada 3.5km atau 13 minit sahaja. – UTUSAN










