PONTIAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mengambil alih cadangan pembinaan jalan pintas dari Jalan Sawah Pekan Nanas ke Ulu Choh yang bernilai RM46 juta.
Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, jalan sepanjang empat kilometer yang dicadangkan pembinaan oleh Kementerian Kerja Raya itu kini diserahkan kepada KKDW.
Katanya, cadangan pembinaan jalan pintas tersebut bagi mengurangkan kesesakan di bandar Pekan Nanas terutama pada waktu puncak dengan melencongkan kenderaan berat menggunakan jalan baharu ini.
Menurut Jeck Seng, Jalan Sawah, Pekan Nanas merupakan laluan paling sibuk pada waktu pagi apabila kenderaan berat yang keluar melalui Plaza Tol Kulai akan menggunakan jalan itu untuk ke Gelang Patah, Iskandar Puteri dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP)
“Di samping ITU terdapat empat buah kuari yang mengeluarkan batuan dan pasir di Kulai juga menggunakan Jalan Sawah untuk ke destinasi Gelang Patah, Iskandar Puteri, Pontian dan sebagainya,” katanya ketika meninjau laluan tersebut di Pekan Nanas, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pekan Nanas, Tan Eng Meng.
Tambah Jeck Seng, kerja-kerja Pengambilan Balik Tanah ( PBT ) telah selesai dengan anggaran kos sebanyak RM3 juta kepada pemilik tanah yang termasuk dengan jajaran pembinaan tersebut.
“Diharap Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Johor dapat membantu melancarkan permohonan projek ini dan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 ( RMK-13) bagi tambahan projek baharu berkepentingan,” ujar Jeck Seng.
Katanya, masalah kesesakan di Bandar Pekan Nanas memerlukan penyelesaian jangka panjang kerana telah menimbulkan rungutan pengguna termasuk pada hujung minggu dan cuti umum.
Menurut beliau, dengan adanya laluan pintas dari Jalan Sawah ke Ulu Choh akan memberikan banyak pilihan kepada pengguna untuk ke Johor Bahru tanpa menempuh kesesakan di Pekan Nanas. – UTUSAN










