Apa yang pelancong cari di Langkawi?

Apa yang pelancong cari di Langkawi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN lalu Pulau Langkawi menerima kedatangan pelancong seramai 3,215,730 orang, angka yang membuktikan pulau itu terus menjadi tumpuan pelancong sama ada dari luar negara atau dalam negeri.

Jumlah itu lebih ramai daripada tahun 2021 apabila seramai 1,093,937 datang ke pulau itu, 2,581,605 pada tahun 2022 dan seramai 2,904,629 orang pada tahun 2024. Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 750,889 pelawat telah datang ke pulau legenda itu.

Angka yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu menunjukkan jumlah pelancong ke pulau itu terus meningkat. Peningkatan itu sudah tentu membanggakan kerajaan negeri Kedah apabila ia turut menjana pendapatan sehingga RM5.4 bilion pada tahun lalu.

Sebenarnya bukan mudah untuk menarik jumlah pelancong yang besar ke sesuatu destinasi pelancongan terutama seperti Langkawi yang tiada jalan raya menghubungkannya dengan tanah besar Semenanjung. Yang ada hanyalah kapal terbang, bot dan feri untuk orang ramai masuk dan keluar dari pulau tersebut.

Apa istimewanya Langkawi sehingga menarik ramai pelancong datang ke pulau itu? Apakah strategi pelancongannya perlu diubah agar setanding dengan pulau-pulau pelancongan di negara lain?

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam titah baginda pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Istana Anak Bukit, semalam, menegaskan Langkawi merupakan aset strategik kepada Kedah dan negara yang perlu dibangunkan mengikut acuan serta identiti tersendiri.

Bagi baginda, pembangunan pulau peranginan itu tidak seharusnya meniru atau dibandingkan dengan destinasi pelancongan lain seperti Phuket atau Bali kerana kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi serta warisan unik dimilikinya.

“Aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari. Beta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan membuat sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi Pulau Langkawi,” titah baginda.

Ya, ada benarnya titah baginda itu kerana dalam keadaan logistik terhad untuk ke Langkawi, ia masih dapat menarik ramai pelancong yang mahu menikmati keindahan alam, kawasan berpantai, keenakan makanan tempatan, budaya masyarakatnya dan juga pelbagai kemudahan penginapannya.

Betul, kedatangan pelancong ke Langkawi jauh berbeza dengan Phuket yang menerima 13 juta pelancong tahun lalu dan Bali pula mencatat 33.56 juta pelancong pada 2025.

Sudah tentu Langkawi, Phuket dan Bali berbeza keadaan terutamanya dari segi budaya dan kehidupan masyarakatnya. Segalanya bebas di Phuket dan Bali.

Keadaan itu berbeza dengan Langkawi yang masih utuh dengan nilai-nilai murni orang Asia dan penganut Islam penduduknya.

Sebab itulah pelancongan Langkawi seperti titah Sultan Kedah perlu dibangunkan mengikut acuan serta identiti tersendiri. – UTUSAN

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Timbalan Pengarang Utusan Malaysia.