Sijil halal buka pasaran lebih luas kepada tauhu Sukina

Sijil halal buka pasaran lebih luas kepada tauhu Sukina

NOOR Shoriah Mohammad Basir bersama beberapa produk tauhu keluaran Sukina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama berasaskan soya, Sukina berjaya meningkatkan keyakinan pengguna selepas memperoleh pensijilan halal dariapda Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 16 September 2023, sekali gus membantu memperkukuh kedudukan syarikat dalam pasaran.

Pengurus NSB Baroqah Enterprise, Noor Shoriah Mohammad Basir berkata, pensijilan halal bukan sekadar menjadi pengiktirafan terhadap status sesuatu produk, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan, terutama dalam industri makanan yang semakin kompetitif.

Menurut beliau, sebelum memperoleh pensijilan halal, syarikat sering berdepan persoalan daripada pelanggan mengenai perbezaan produk Sukina berbanding produk lain yang telah memiliki pensijilan halal dan pensijilan MeSTI.

“Selepas memperoleh sijil halal, pelanggan lebih yakin untuk membeli produk kami. Ia turut meningkatkan reputasi syarikat serta membuka peluang pasaran yang lebih luas.

“Pensijilan halal membuktikan proses pengeluaran, kebersihan premis dan bahan mentah yang digunakan mematuhi piawaian yang ditetapkan, sekali gus memberi nilai tambah kepada produk,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, keputusan mendapatkan pensijilan halal dibuat bagi meningkatkan daya saing syarikat dalam pasaran yang didominasi pengeluar lain yang mempunyai rangkaian pengedaran lebih kukuh.

“Bagaimanapun, usaha memperoleh pensijilan ini tidak mudah apabila kami berdepan pelbagai cabaran.

“Ini termasuk kekurangan pengetahuan mengenai proses permohonan, kesukaran mendapatkan pembekal bahan mentah yang memiliki pensijilan halal serta kekangan kewangan bagi menaik taraf premis mengikut piawaian ditetapkan.

“Bagaimanapun, bantuan daripada MARA dan Jabatan Pertanian banyak membantu kami memenuhi keperluan pensijilan halal dan MeSTI,” katanya.

Beliau berkata, minat menghasilkan tauhu bermula ketika menetap di Qatar pada 2012 selepas sukar mendapatkan produk yang menepati cita rasa tempatan sebelum mengikuti kursus pembuatan tauhu pada 2013 dan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari dapur rumah untuk komuniti rakyat Malaysia di negara itu.

Jelasnya, pemilihan produk tersebut dibuat kerana melihat potensi pasaran yang besar selain mahu menyediakan lebih banyak pilihan produk kepada pengguna Islam menerusi penglibatan usahawan bumiputera.

“Dengan modal permulaan sebanyak RM20,000, jenama Sukina kini menghasilkan pelbagai produk berasaskan soya termasuk tauhu lampung, tauhu putih, tauhu goreng, tauhu lembut dan tempe, selain sedang membangunkan produk baharu iaitu tauhu crispy mentah.

“Pada 2019 lalu, perniagaan kami mula menembusi kedai runcit dan premis makanan serta menerima permintaan dari luar Melaka sehingga mendorong syarikat berpindah ke premis yang lebih besar di Taman Cheng Setia, Cheng bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran,” jelasnya. 

Mengulas perancangan syarikat, Noor Shoriah berkata, tumpuan ketika ini adalah memenuhi permintaan daripada kedai runcit dan premis makanan sebelum meneroka sektor perhotelan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan lebih ramai usahawan makanan dan minuman mendapatkan pensijilan halal kerana ia bukan sahaja memenuhi keperluan pengguna Islam, malah membuktikan komitmen terhadap aspek kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan.

“Pensijilan halal mampu meningkatkan keyakinan pengguna, memperkukuh imej syarikat dan membuka peluang pasaran yang lebih luas, sekali gus membantu meningkatkan jualan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN