WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan tentera Washington dan Teheran bersetuju menghentikan sementara sebarang tembakan sepanjang tempoh upacara pengebumian bekas pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Kenyataan itu dibuat ketika rundingan nuklear turut dihentikan seketika, selain mendedahkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu secara rasmi memohon mengadakan pertemuan di Rumah Putih di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua sekutu itu.
Dalam temu bual telefon ringkas dengan laman berita Axios, Trump berkata, kedua-dua pihak bersetuju ‘menahan diri’ daripada sebarang tindakan ketenteraan selama seminggu bagi membolehkan upacara pengebumian Khamenei yang terbunuh dalam perang AS-Israel pada 28 Februari dapat disempurnakan.
“Mereka semua berada di sana. Satu tembakan sahaja dan kita boleh hapuskan mereka semua, tetapi kami tidak akan berbuat demikian kerana selepas itu kami tidak lagi mempunyai sesiapa untuk berunding,” kata Trump.
Beliau berkata, Iran berminat untuk mencapai satu perjanjian dan rundingan akan disambung semula sebaik sahaja tempoh pengebumian berakhir.
Dalam pada itu, Trump turut mengakui terkejut melihat suasana perngebumian di Iran kerana menyangka rakyat negara itu membenci Khamenei.
“Mungkin air mata itu palsu,” katanya.
Puluhan ribu rakyat Iran membanjiri sebuah kompleks solat terbuka yang luas di Teheran sejak pagi Sabtu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Khamenei. Kebanyakan mereka berpakaian serba hitam, membaluti tubuh dengan bendera negara sambil mengangkat potret Khamenei dan anak lelakinya yang juga penggantinya, Ayatollah Mojtaba.
Selepas sehari diletakkan di dalam bangunan untuk penghormatan pemimpin kanan Iran dan tetamu kenamaan asing, keranda Khamenei kemudian ditempatkan di kawasan terbuka di dalam bekas kaca. Ia turut ditempatkan bersama keranda anak perempuannya, menantu lelaki, menantu perempuan serta cucu perempuannya yang berusia 14 bulan.
Selepas perarakan besar-besaran yang dijadual berlangsung di pusat bandar Teheran pada Isnin, jenazah Khamenei akan dibawa ke bandar Qom, pusat kepimpinan Syiah Iran pada Selasa.
Dari situ, jenazah akan diterbangkan ke Iraq untuk upacara penghormatan di dua bandar suci Syiah, Najaf dan Karbala , Iraq. Ia kemudian di bawa pulang ke Iran pada Khamis untuk satu lagi perarakan di Mashhad dan dikebumikan berhampiran makam seorang lagi imam Syiah zaman pertengahan.
Pihak berkuasa menggerakkan jutaan rakyat bagi menyertai perarakan besar sepanjang tiga hari. – AGENSI










