LOS ANGELES: Carlos Queiroz meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Ghana selepas skuad Black Stars tersingkir pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia.
Ghana menamatkan saingan selepas tewas 0-1 kepada Colombia di Kansas City, Jumaat lalu, dalam aksi yang menyaksikan mereka hanya mampu menghasilkan lapan percubaan ke arah gol.
Pengendali dari Portugal itu, yang sebelum ini pernah membimbing Iran pada Piala Dunia di Qatar, berkata, dia tetap berbangga dengan pencapaian pasukan, namun mengakui masih mengharapkan keputusan yang lebih baik.
“Saya meninggalkan perjalanan ini dengan penuh rasa bangga terhadap apa yang telah kami capai, tetapi pada masa sama masih berasa tidak puas kerana sentiasa mahu mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya.
Queiroz turut mengingatkan bahawa masa depan bola sepak Ghana tidak boleh bergantung kepada prestasi di atas padang semata-mata.
“Masa depan Black Stars tidak akan dibina hanya di atas padang.
“Mencapai tahap yang lebih tinggi bukanlah destinasi, sebaliknya ia perlu menjadi titik permulaan kepada cita-cita yang lebih besar.
“Kejayaan Black Stars mesti bermula di luar padang dengan mewujudkan persekitaran terbaik untuk mempersiapkan, melindungi dan membangunkan bakat luar biasa yang dimiliki Ghana,” katanya.
Queiroz dilantik sebagai ketua jurulatih Ghana pada April lalu bagi menggantikan Otto Addo yang dipecat susulan prestasi hambar pasukan. – AFP










