BANDAR BAHARU: Insiden pemasangan bendera secara cuai yang terbukti bukan disengajakan tidak perlu diperbesarkan sehingga menimbulkan ketakutan kepada pihak lain untuk mengibar Jalur Gemilang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semangat cintakan negara dan jiwa patriotik mesti dipupuk bukan sahaja dalam jiwa setiap rakyat malah ditonjolkan menerusi amalan serta simbol kebangsaan yang jelas.
Beliau berkata, antara cara paling mudah menunjukkan jiwa patriotik adalah dengan mempamerkan Jalur Gemilang, khususnya ketika sambutan Bulan Kebangsaan atau majlis-majlis signifikan melibatkan rakyat dan negara.
“Kalau berlaku insiden bendera dipasang terbalik misalnya, sikap kita adalah jika ada aduan dan laporan pihak polis akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang. Kita ada Akta Lambang dan Nama serta Akta Kesalahan Kecil.
“Tetapi dalam proses siasatan, kita perlu memastikan sama ada perkara itu disengajakan dengan niat jahat untuk mempersenda atau mencetuskan keresahan ataupun hanya khilaf, tidak sengaja,” katanya pada sidang akhbar Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin, sekiranya terbukti terdapat niat untuk memperlekehkan lambang kebesaran negara, tindakan undang-undang sewajarnya akan dikenakan kepada pelaku terlibat.
Namun ujarnya, jika siasatan mendapati ia hanya kecuaian atau kesilapan yang tidak disengajakan perkara itu tidak wajar diperbesar sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat untuk mengibarkan bendera.
“Kita tidak mahu keadaan di mana rakyat jadi takut hendak pasang bendera semata-mata khuatir silap sedikit boleh disiasat. Prinsip kita jelas, jiwa patriotik mesti ditunjukkan tetapi penguatkuasaan pula perlu dilaksanakan secara bijaksana,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa pihak media memainkan peranan mendidik masyarakat dengan menyiarkan lebih banyak contoh pemasangan Jalur Gemilang yang betul, berbanding memberi fokus berlebihan kepada satu dua insiden kesilapan.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin mengulangi pendirian bahawa pihak polis bersedia sepenuhnya untuk membuka semula kes kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan pada Disember 2013.
Beliau berkata, siasatan polis sudah pun dilengkapkan ketika itu dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, namus status kes itu pada masa itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
“Tetapi ketika ini tumpuan kepada kes adik Zara (Qairina Mahathir), maka keluarga adik Wan Ahmad Faris bawa semula kes itu. Jadi saya serahkan kepada polis untuk menetapkan hala tuju sebab sama seperti kes Zara prinsip yang kita guna pakai adalah mencari kebenaran dan menegakkan keadilan berpandukan kepada jalur hukum,” katanya.-UTUSAN










