KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini menetapkan bulan depan sebagai tarikh prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bersidang sebagai Koroner menetapkan tarikh 3-4; 8-12; 17-19; 22-30 September sebagai tarikh prosiding inkues itu dalam sebutan berlangsung pada hari ini.
Inkues itu turut bertujuan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terlibat dalam kematian Zara.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu akan menetapkan tarikh inkues bagi menentukan sebab dan punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu pada 12 Ogos.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pagi 16 Julai.-UTUSAN










