PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di Putrajaya, petang ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, pihaknya amat terkejut dan sedih dengan kejadian tersebut serta mendoakan agar mangsa segera sembuh sepenuhnya.
“Kanak-kanak sama sekali tidak boleh dijadikan mangsa dalam apa jua keadaan. Tindakan sebegini adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh semua pihak.
“Keadilan menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera dan tegas dengan membawa pelaku-pelaku ini ke muka pengadilan, serta memastikan keselamatan dan perlindungan semua rakyat, khususnya kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Rafizi mendedahkan anak dan isterinya diserang oleh dua orang lelaki bermotosikal ketika meninggalkan sebuah pusat beli-belah di sini.
Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar pukul 1.45 petang tadi, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anaknya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
Kata beliau, semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isterinya yang pada hematnya telah merancang serangan itu lebih awal. – UTUSAN










